Sunday, June 11, 2017

Nota dakwah...


Nota dakwah.

Sepanjang beratus artikel yang aku tulis di blogku ini, berbagai rasa pengalaman dan pandangan yang aku coretkan. Tiada lain tujuan agar hikmah pengajaran dan kefahaman itu dapat diperolehi oleh kalian para pembaca. Tanpa pengajaran dan kefahaman maka gagal lah sifat individu dan jiwa menjadi manusia yang sebenar. 

Motif utama kehidupan ialah bertaqwa kepada Allah dengan tunduk dan patuh kepadaNya lalu berperanan sebagai khalifah diatas mukabumi ini. Mengakui dan memahami bahawa kewujudan diri itu adalah kerana dengan izinNya. Ini difahami atas prinsip bahawa keadaan kehidupan itu bagai umpama penjara (sebagaimana maksud hadis - dunia itu umpama penjara bagi orang mukmin). 

Aku akui ada komen pintar yang menyentuh rasa bahawa aku dikatakan sebagai penulis picisan. Bahkan ada juga mengatakan bahawa aku ini hanya "syok sendiri" dengan ungkapan "dancing on". Aku akui mungkin tulisanku berbaur sedemikian. Mungkin itu kelemahanku. Namun aku tidak dapat lari dari pentas sedemikian sepenuhnya kerana cara gaya tulisanku lebih kepada usaha menjentik rasa dalam diri pembaca. Ia bukan coretan yang bertujuan untuk  menambah gah ku akan tetapi menghayati kisah pengajaran dalam coretan coretan ku melalui berbagai peristiwa dan pengalaman yang ku lalui. 

Benar, semakin kita melangkah jauh dalam perjalanan ini, semakin dekatlah kita ke pengakhiran kehidupan. Ia mungkin melelahkan bahkan menjerihkan. Ia acuan pelbagai warna pengalaman dan peristiwa. Lalu aku pikir mengapa tidak ku kongsikan sebahagian darinya untuk para pembaca. Mungkin ia bermanfaat atau mungkin ia menjadi sempadan ingatan buat kalian agar tidak mengulangi kesilapan yang pernah aku lakukan.


Ku lakukan sedemikian kerana aku memahami bahawa ini sebahagian yang diajar oleh Nabi saw. Kalian lihat dalam sirah kehidupan Nabi Muhammad saw, saat diawal waktu kehidupannya di Mekah. Fahami apakah tema yang Nabi saw tunjukkan. Bukankan Nabi saw menunjukkan tema akhlak terpuji sebelum baginda saw diangkat menjadi rasul terakhir? Nabi saw dikenal oleh masyarakatnya dan mencontohkan atau menjadikan dirinya sebagai 'role model' lalu sangat popular dengan gelaran "al-Amin" iaitu yang benar. Bertitik tolak dari itu, boleh kita teladani bahawa akhlak mulia dan motif menjadi yang amanah atau yang benar itu perlu dibina dan dijadikan pembangunan diri. Ia acuan bagi menghadapi kehidupan sebenar.

Lalu kemudiannya tema yang dibawa oleh Nabi saw adalah berupa kesatuan ummah, kepentingan kelompok berbanding kepentingan sendiri. Bahkan bukan jua memenuhkan tembolok sendiri, barulah kejayaan dapat diperolehi. Satu kejayaan yg padu dan memberi manfaat kepada seluruh ummah.

Kisah Badar dan bagaimana ia berlaku, tanpa senjata yang mencukupi bahkan kekurang sumber yang bersangatan. Saat iman diuji bukan dengan bilangan orang dan persenjataan bahkan logik akal menyatakan (jika kita berada disitu pada ketika itu berbanding hanya sekadar mendengar cerita dan membaca sirah) bahawa pasukan ini kalah dan sumbang sekali. Pasti tewas. Akan tetapi sebaliknya pasukan yang sangat kekurangan ini akhirnya menghancurkan ego ego para strategis bahkan pengkaji mahupun pakar peperangan saat itu. Menang moral, iman dan menang perang walau ramai yang syahid. 

Ambillah ibrah dan jadikan ia pengajaran bermakna dalam hidup. Moga kita akan jadi mukmin yang dinamik serta progresif dalam pemikiran dan tindakan..









Sent from my iPhone

No comments: