Thursday, July 23, 2015

Aku dan Abah 2: Hidup utk orang lain.....

Ini sebahagian dari beribu ceritaku dengan abah, ia ku coretkan agar menjadi kenangan dan  simpanan untuk tatapan dikemudian hari........kalian juga punya abah dan kalian juga menyayangi abah kalian seperti mana aku jua....

Ceritaku dengan abah
Syawal 3, 1436H
Ceritaku dengan Abah
"Awi kat mana dah tu? Jam berapa agak agak nak sampai?" Suara pertama aku dengar berulangkali sejak memulakan perjalanan balik dari rumah mertua di Pasir Puteh, Kelantan.

"3 jam lagi sampai abah...kereta banyak ni, tak boleh nak laju!" ujarku. Itu jawapan ku kepada abah. Sekitar setengah jam lagi telefonku akan berdering lagi, panggilan dari abah bertanyakan aku dimana. Begitulah suasananya setiap kali aku memulakan musafir tiap kali cuti mahupun musim perayaan. Abah akan bertanya melalui telefon bila aku akan balik, jam berapa aku bertolak, pukul berapa aku akan sampai atau soalan soalan tentang kenapa aku balik lewat, kenapa aku tidak sampai sampai lagi. Itulah abahku.

Hari ini abah tidak bersuara lagi. Abah tidak menelefon ku lagi. Abah tidak lagi bertanya. Abah seolah olah telah tiada.

Aku sangat rindu soalan soalan dan pertanyaan khabar dari abah. Aku tahu itu maknanya abah ambil berat dan ambil peduli. Tiada lagi saatnya abah lebih ambil berat melainkan saat saat bertanya bila aku akan pulang dan jam berapa aku akan sampai.

Dulu aku serabut dengan soalan soalan abah sedemikian rupa. Aku pernah meninggikan suara menjawab soalan abah. Tapi abah tetap kerapkali dan acapkali menelefonku dalam perjalananku. Bertanya soalan yang sama. Itulah abah. Sebenarnya dia peduli dengan aku. Dia ambil berat tentang aku. Selalu juga abah tanya mak hal keadaan aku dan keluarga. Aku tahu abah juga bersikap sedemikian juga terhadap adik adikku yang lain. Hari ini aku merasa amat bersalah. Abah sudah tidak bertanya lagi. Aku sudah tidak mendengar suara abah ditelefon. Bahasa orang putihnya ialah 'Dad is no longer nagging me....i deeply miss the moment'...

Abah ambil peduli semua orang serta anak anak abah. Abah ambil berat tentang semua orang. Abah ambil berat sejak dulu lagi dalam banyak hal dan perkara. Abah hanya mahukan jawapan dan status terkini. Jika segalanya baik, abah tidak bertanya lagi. Abah tidak berbual tentangnya. Aku faham bahawa jika segalanya baik, maka hati abah tenteram, jiwanya tenang. Abah tidak bertanya lagi. Tahap kepedulian abah sangat tinggi hingga terkadang ia menjadi masalah buat abah. Orang lain Malah aku dan adik adik menjadi tidak selesa...aku pernah meninggi suara tatkala menjawabnya. Rimas! Namun hari ini aku merindui pertanyaan abah. Dan akubpasti aku akan terus merinduinya sampai bila bila

Hari ini Syawal ke 3, aku sedang bersiap nak balik ke rumah abah. Tahun ini giliran beraya di rumah mertua. Kebiasaannya abah akan menelefonku pada malam raya, raya pertama dan kedua. Dan bila masuk raya ketiga abah akan bertanya bila nak balik....akan tetapi tiada lagi pertanyaan itu.

Aku tahu abah tetap mengharapkan aku balik. Itu aku pasti. Harapan yang sama terhadap anak anak abah yang lain. Cumanya abah tidak seperti dahulu. Abah dah tak terdaya untuk ambil peduli. Abah tidak sibuk hal orang lain lagi. Tidak macam dahulu. Abah hanya mampu ambil peduli tentang dirinya. Abah dah tua sangat. Fizikalnya lemah, fikirannya tidak seperti dahulu. Sepanjang hari abah tidur dan tidur. Abah bangun bila lapar atau mahu pergi ke tandas atau solat. Abah hanya peduli akan dirinya. 

Sesekali abah bertanya pada mak tentang aku dan adik adik yang lain. Ringkas sahaja pertanyaan abah, kemudian abah peduli dirinya sahaja. Bukan abah hanya pentingkan dirinya sekarang. Abah sudah lemah. Aku akur dengan keadaan fizikal abah. Aku sekadar mengimbau kepedulian abah saat abah masih sihat dahulu. Aku rindu saat saat itu.

Cukuplah. Aku fikir memang sudah saatnya abah berehat dan ambil peduli tentang dirinya sendiri. Cukuplah abah ambil peduli tentang orang lain. Abah dah penat dan terlalu penat kerana abah sudah ambil peduli sejak dahulu lagi.

Apa yang abah tidak ambil peduli? Dari keluarga sendiri, keluarga orang lain, hal sendiri, hal anak anak, hal anak orang lain, hal orang lain, hal adik beradik abah, hal keluarga belah abah dan mak, hal orang kampung, hal jiran, hal anak anak jiran, hal anak anak orang kampung, sakit pening abah, keluarga abah, anak anak abah, orang lain malah hal nak bersalin di hospital tengah tengah malam pun abah urus. 

Anak orang lain nak masuk asrama pun abah urus. Anak orang lain tidak mampu nak masuk asrama tapi abah tahu potensi anak itu, tetap abah urus kerana abah tahu hanya pelajaran dan ilmu yang akan mengubah kehidupan keluarga anak itu. Berapa ramai yang telah berjaya dan mampu ubah kehidupan keluargnya dari tidak punya apa apa kini sudah bertambah baik kehidupannya. Berapa ramai anak saudara abah ambil SPM di rumah abah dan abah bayarkan yuran SPM agar mereka ada sijil dan boleh memohon kerja dengan sijil SPM. Kehidupan mereka kini telah bertambah baik, alhamdulillah. Aku semakin mengerti.

Itu semua berlaku kerana abah memang ambil peduli. Aku saksi hidup kepada semua itu. Sampai satu tahap dulu aku hairan dan pelik akan tahap kepedulian abah sampai begitu sekali. Namun sejak 10-15 tahun kebelakangan ini aku bertambah sedar dan memahami mengapa abah amat peduli sedemikian rupa. Aku kagum dengan semangat peduli abah. Aku kini memahami dan mewarisi...sebab itulah sejak kebelakangan ini jika ada orang datang jumpa abah mohon bantu, anak nak masuk asrama, anak nak masuk IPTA dan sebagainya, abah akan serahkan urusan itu kepada ku. Aku bantu semampunya, dan hari ini ramai saudara mara dan anak kampung ku yang telah ku usahakan berada di IPTA, maktab, sekolah asrama dan sebagainya. Aku hanya meneruskan legasi abah.

Sesekali, di Syawal 1436H yang berkah ini, bila ku renung sekujur tubuh kecil yang kurus sedang terlantar di satu sudut rumah kampung ini...aku imbau dan mengenang ceritaku dengan abah...ia tidak seperti dahulu lagi. Aku hanya mampu menyambung apa yang abah telah mulai sejak dahulu. Aku tidak mampu untuk ambil peduli sedemikian rupa seperti mana abah lakukan sejak dari mudanya abah hinggalah hari ini. 

Sejenak tubuh kecil itu berpaling dan bola matanya bersinar melihat aku. "Bila balik?" Tanya abah. "Baru kejap ni bah..." Jawabku. "Nanti jangan lupa yea bawak balik KL salinan borang borang permohonan atas meja tu, jangan sampai terlupa yea" kata abah. "Ok abah.."kataku. "Tolong la yea, tu anak si ??, si ?? dan si ??...."ujar abah. "Insyaallah abah..awi usahakan"kataku lagi. "Terimakasih banyak banyak yea" kata abah. Abah berpaling dan sambung tidur. 

Aku termenung sekejap. Abah masih lagi ambil peduli....dan aku di sini menyambung legasi abah...biarlah, aku usahakan sebaiknya agar abah puashati...agar saatnya abah kembali menemui Tuannya, abah tahu abah telah menyerahkan semangat kepeduliannya dan amanah ambil beratnya kepada ku...moga Allah berkati umur dan amal abah. Ya Allah, kunmohon padaMU dengan sebenar sebenar permohonan, terimalah abahku dikalangan hambamu yang soleh dan engkau redhai...

Di Syawal ini, Alwi anak abah ini memohon maaf atas segala keterlanjuran kata kata dan perbuatan, maafkan Awi abah kerana meninggi suara saat abah benar benar ambil peduli pasal Awi....moga Allah redha dengan amal dan umur abah...selamat hari raya abah, emak, maaf zahir dan batin daripada Awi, Sakinah sekeluarga begitu juga kemaafan dari anak anak abah yang lain-Anas, Mujahid dan Siti Hawa juga kemaafan dari menantu menantu abah serta mereka semua yang pernah abah ambil peduli bersangatan.....allahuakbar.
Mataku bergenang airmata saat ini buat sekian kalinya....